Isnin, 27 Oktober 2014

Tugasan Kumpulan 3, 4 dan 5

Nyatakan salah satu isi tersurat yang terdapat dalam perenggan di bawah. Kemukakan jawapan anda di ruangan ulasan di bawah paparan ini.

    Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk meningkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.

Tugasan Kumpulan 1 dan 2

Nyatakan salah satu isi tersurat yang terdapat dalam perenggan di bawah. Kemukakan jawapan anda di ruangan ulasan di bawah paparan ini.

    Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.

    Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelanggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.




Mari berbincang :)




Ahad, 26 Oktober 2014

KEBAIKAN DAN KEBURUKAN PENGGUNAAN LAMAN SOSIAL DALAM KALANGAN REMAJA

       Laman sosial sangat popular dalam kalangan masyarakat di alam maya. Laman tersebut boleh mengakes laman tersebut di mana-mana, pada bila-bila masa hanya dengan menggunakan telefon pintar sahaja. Di sebalik keghairahan masyarakat menggunakan laman sosial ini, kita harus sedar tentang kebaikan dan keburukan laman sosial ini terhadap masyarakat terutamanya kepada remaja.
    
       Kepentingan laman sosial adalah untuk dijadikan sebagai alat perhubungan (AJ). Perhubungan yang terputus atau mencari kenalan baharu boleh diwujudkan dengan menggunakan laman sosial ini (AH). Lazimnya, pengguna laman sosial akan menemukan semula rakan lama, rakan di kampung atau berkenalan dengan rakan baharu untuk menambah kenalan dan hubungan untuk berkongsi pendapat dan pandangan secara lebih meluas(AC).

      Selain itu, laman sosial ini berguna untuk menyebarkan ilmu pengetahuan (AJ). Laman sosial banyak membantu dalam penyebaran maklumat terkini yang penting apabila dikongsi bersama dengan kenalan yang lain (AH). Ilmu keagamaan misalnya mendapat tempat dalam laman sosial apabila ramai pengguna laman ini berkongsi video dan artikel berkaitan isu agama, hukum, dan sunnah untuk panduan hidup umat Islam (AC). 

       Namun, kesan negatif  wujud apabila remaja terdedah dengan media yang tidak bermoral (AJ). Sistem laman sosial sangat terbuka memudahkan pelbagai media dan bahan yang tidak senonoh untuk dimuat naik dan dimuat turun oleh remaja (AH). Contohnya, remaja boleh terpengaruh dengan bahan fitnah, video lucah, artikel yang menyentuh sensitiviti masyarakat boleh dimuat naik dan ditonton dengan mudah (AC).

        Kesimpulannya, penggunaan laman sosial merupakan satu langkah untuk menyalurkan kebaikan kepada para remaja (AK). Namun, tindakan awal ibu bapa seperti memantau penggunaan laman sosial anak mereka perlu dilakukan supaya mereka tidak terpengaruh dengan anasir-anasir negatif.(AC). Bak kata bidalan merawat itu lebih baik daripada mencegah.

(250 patah perkataan)

PENULISAN KARANGAN TIDAK BERFORMAT PENILAIAN TINGKATAN 3 (PT3)

PANDUAN


1. Tentukan T.K.F.
   T - Tema
   K - Kata Kunci
   F - Format (Berformat atau Tidak Berformat)

Kemalangan jalan raya kian meningkat khususnya menjelang musim perayaan. Jelaskan punca-punca berlakunya kemalangan jalan raya di negara kita. Panjang karangan mestilah melebihi 180 patah perkataan.

2.  Karangan sekurang-kurangnya mempunyai 5 perenggan     
     dan 3 isi.
  1 perenggan  -  Pendahuluan
  3 perenggan  -  Isi
  1 perenggan  -  Penutupan

3.  Perenggan pendahuluan. Buat 2 ayat sahaja :

 - 1 Ayat Rangsangan (AR) 
"Setiap hari, kemalangan pasti berlaku di jalan raya di seluruh Malaysia."

 - 1 Ayat Arahan (AA)
"Terdapat tiga faktor utama yang menyebabkan kemalangan tersebut berlaku."

4.  Perenggan isi. Perlu ada sekurang-kurangnya 3 ayat.

-1 Ayat Judul (AJ)
"Faktor pertama kemalangan jalan raya adalah disebabkan sikap pengguna jalan raya itu sendiri."

-1 Ayat Huraian (AH)
"Dalam hal ini, sikap pengguna jalan raya yang cuai dan tidak bertimbang rasa mencetus natijah berlakunya kejadian malang ini."

-1 Ayat Contoh (AC)
"Sebagai contoh, mereka sering memandu sambil menggunakan telefon bimbit, melanggar isyarat lampu dan memandu melebihi had laju yang ditetapkan."

5. Perenggan penutupan. Perlu masukkan 2 ayat sekurang-kurangnya.

- 1 Ayat Kesimpulan (AK)
"Kesimpulannya, kemalangan jalan raya merupakan satu kejadian yang sukar untuk dielakkan"

- 1 Ayat Cadangan (AC)
"Oleh itu, semua pengguna jalan raya perlulah bersikap lebih berhati-hati dan memandu secara berhemah supaya kejadian buruk tidak dapat dicegah kerana malang tidak berbau."

WAJIB masukkan ungkapan, peribahasa, simpulan bahasa, kata hikmat dan sebagainya yang berkaitan tajuk karangan.

contoh - 
1. "malang tidak berbau"
2. "sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna"
3. "pandu cermat, kita mampu mengubahnya"
4. "ikut hati mati, ikut rasa binasa"

6.  Jumlah perkataan MESTILAH MELEBIHI 180 patah perkataan.

-  1 perenggan lebih kurang 45-55 perkataan sahaja.




Selasa, 14 Oktober 2014

Contoh Petikan Rangsangan Untuk Membuat Rumusan

Baca petikan di bawah dengan teliti dan kemudian buat satu rumusan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara dan kesan-kesannya. Panjang rumusan hendaklah tidak melebihi 120 patah perkataan.

      Kegagalan atlet negara di Sukan Olimpik Beijing 2008 menimbulkan pelbagai persoalan tentang mutu pembangunan sukan negara di arena antarabangsa. Mutu sukan negara sepatutnya terus berkembang dan mencapai banyak kejayaan seiring dengan pertumbuhan ekonomi negara. Tetapi,mutu sukan negara terus merosot dari semasa ke semasa sedangkan pada masa yang sama kerajaan telah menyediakan dan membelanjakan peruntukan yang besar untuk memajukan sukan tanah air supaya mencapai taraf dunia.


        Sebenarnya kemelut dalam dunia sukan negara boleh berpunca daripada banyak pihak. Paling ketara ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Mereka lebih banyak menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi daripada memberi perhatian khusus untuk memajukan sukan bertaraf dunia. Mereka sering menunding jari kepada pihak lain daripada mengakui kelemahan sendiri apabila punca kemerosotan atlet dikenali pasti. Mereka seharusnya sedar bahawa kegagalan atlet sering dikaitkan dengan kelemahan pentadbiran persatuan sukan. Hal ini disebabkan, mereka sebagai perancang pembangunan sukan tidak mempunyai hasrat atau visi yang cukup tinggi untuk membantu meningkatkan mutu sukan.


     Pengkritik sukan berpendapat banyak faktor yang menyebabkan mutu sukan negara tidak mencapai kemajuan atau bertaraf dunia. Mereka berpendapat sistem pendidikan yang lebih mementingkan kecemerlangan akademik dan sikap masyarakat atau ibu bapa yang mementingkan kecemerlangan akademik membataskan murid-murid sekolah daripada mendekati sukan. Fenomena ini menjadikan sekolah kini bukan lagi gelenggang untuk melahirkan dan mencungkil bakat pelajar-pelajar sekolah yang boleh digilap sebagai atlet negara sehingga mencapai taraf dunia.

      Bagaimanapun adalah tidak adil kita hanya menyalahkan pihak tertentu tanpa meninjau dilema atlet. Secara umumnya moral atlet kita berada di tahap yang rendah dan mudah mengaku kalah apabila menghadapi lawan yang bertaraf dunia. Hal ini mungkin kerana mereka kurang keyakinan di samping kurang pendedahan dan pengetahuan. Atlet kita juga dikatakan tidak bersikap matang dalam usaha untuk menigkatkan prestasi diri. Mereka tidak menjiwai watak sebagai ahli sukan tulen yang sanggup untuk meningkatkan prestasi dan kemahiran sendiri. Sesetengah atlet tidak berdisiplin dan menjadi keras kepala kerana menyedari khidmat mereka amat diperlukan, ekoran sudah tidak ada atlet lain yang akan mewakili negara. Sikap atlet yang manja dan sukar ditegur ini masalah kepada jurulatih untuk menggilap atlet negara menjadi ahli sukan bertaraf dunia. Permasalahan ini bukan sahaja memerlukan atlet mengubah sikap tetapi juga semua pihak yang terlibat demi mewujudkan sukan sebagai suatu budaya kehidupan.





Teknik Menulis Pendahuluan Rumusan

Contoh 1

       Petikan ini membincangkan tentang faktor-faktor yang menghalang pembangunan sukan negara.


Contoh 2

       Petikan ini membincangkan tentang punca-punca yang membantutkan pencapaian sukan negara.


Pada pendapat kamu, yang mana lebih tepat? Contoh 1 atau Contoh 2. Kemukakan alasan. 




Teknik Menulis Isi Tersurat Rumusan


Contoh 1


  Antara puncanya ialah sikap pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain di samping sikap mereka yang menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.  


Contoh 2

      Salah satu faktor yang menghalang pembangunan sukan ialah sikap tidak profesional pegawai yang suka mencampuri urusan jurulatih dalam menentukan pemilihan pemain. Sesetengahnya pula menjadikan persatuan sukan sebagai tempat mencari keuntungan peribadi.


Siapa boleh menjelaskan perbezaan antara kedua-dua contoh di atas? Silakan.


Adakah anda memahami teknik menulis isi tersurat ini?

Nyatakan DUA ISI TERSURAT LAIN yang terdapat dalam contoh petikan di atas. Kemukakan jawapan anda di ruangan ulasan di bawah paparan ini. 
    

Isnin, 13 Oktober 2014

KARANGAN RUMUSAN SPM


PANDUAN MENULIS KARANGAN RUMUSAN 
BAHASA MELAYU SPM



  • Proses mencari dan mengenal pasti isi-isi utama dalam petikan.
  • Proses mengasingkan isi utama dan isi sampingan, huraian dan bukti.
  • Panjang rumusan mestilah mematuhi arahan (tidak melebihi 120 patah kata)
  • Jumlah isi minimum 8. Isi tersurat (6) dan isi tersirat (2) boleh ditulis lebih asalkan tidak melebihi jumlah patah perkataan)

    1. Isi tersurat    :  6  5  4  3  2  1  7  6  5  6    
    2. Isi tersirat     :  2  3  4  5  6  7  1  2  3  2  

      • Boleh memetik ayat dalam petikan, asalkan tidak disalin secara terus.
      • Rumusan perlu ditulis dalam 4 perenggan iaitu perenggan pendahuluan, isi tersurat, isi tersirat dan kesimpulan.



      PEMBELAJARAN HARI INI (28/10/2014)


      ...PENDAHULUAN...


      Baca dan fahami arahan soalan dengan teliti, kemudian kesan bahagian isi tersurat.
      a. Pastikan kata kunci yang terdapat dalam arahan isi tersurat.
      b. Gantikan kata kunci tersebut dengan perkataan yang seerti dengannya.

      • Faktor / sebab / punca/ elemen
      • Akibat / kesan / impak / implikasi / natijah
      • Keistimewaan / kelebihan / faedah/manfaat /    
         kebaikan / kepentingan
      • Kelemahan / keburukan / kekurangan / kekangan /   halangan / batasan / masalah
      • Peranan / fungsi / tanggungjawab / tugas.
      • Langkah-langkah / cara-cara / kaedah /usaha-    
        usaha / tindakan - tindakan/pendekatan   
        /strategi/modus operandi

      CONTOH SOALAN : Baca petikan dengan teliti, kemudian buat rumusan tentang 

      1. FAKTOR-FAKTOR (kata kunci isi tersurat)   
          yang menghalang pembangunan sukan dan 
      2. KESAN-KESANNYA (kata kunci isi tersirat).



      ... ISI TERSURAT ...

      • Isi tersurat ialah isi penting yang terdapat dalam petikan/ teks dan dapat dikesan berdasarkan arahan soalan.
      • Jika arahan soalan adalah faktor..... isi tersurat mestilah berkaitan dengan faktor.
      • Garis dan nomborkan setiap isi tersurat.Setiap petikan biasanya mengandungi lebih daripada 6 isi tersurat.
      • Isi tersurat lazimnya terdapat dalam setiap perenggan petikan.
      • Abaikan setiap contoh, misalan, seperti dll. Berikan perhatian kepada isi utama atau isi penting sahaja.
      • Pelajar dilarang menyalin bulat-bulat / keseluruhan ayat daripada petikan. Calon mesti menggunakan ayat sendiri dengan membuat sedikit penggubahsuaian dari ayat asal.
      • Beberapa ayat boleh digabungkan dalam ayat majmuk tetapi mesti lengkap.
      • Untuk mengesan isi tersurat, pelajar DAPAT mengenal pasti perkataan-perkataan yang berikut, jika digunakan dalam petikan: (Rujuk jadual yang berikut)

      Perkataan-perkataan yang sering kali digunakan dalam ayat-ayat isi tersurat

      1. Punca =  Disebabkan / kerana / daripada / oleh       sebab/ menyumbang /
      2. Kesan =  Dapat / telah / mampu /    
          berupaya /akan / boleh mendatangkan /    
          menjadikan /menyebabkan / membolehkan /    
          meninggalkan / mempengaruhi dan sebagainya.
      3. Langkah =  Hendaklah / perlu / mesti / harus /    
          wajar / boleh / sepatutnya / wajib

      Catatan : Selain mengenal pasti arahan dalam soalan dan kata kunci dalam ayat-ayat petikan , pelajar boleh juga menentukan isi tersurat berdasarkan ayat-ayat yang menggunakan Penanda Wacana sebagaimana jadual yang berikut:

      Mengenal pasti Penanda Wacana dalam petikan
      1. Walaupun… / Namun begitu. (Pertentangan   
          maklumat)
      2. Selain itu, Lebih daripada itu, Di samping,    
          dan,  serta, (Kesinambungan maklumat / idea   
          /tambahan)
      3. Natijahnya, akibatnya, (Kesan)
      4. Juga, malahan (Kesinambungan)
      5. Hal ini demikian kerana , Oleh sebab itu, 
          (Sebab)